Sunday, February 22, 2009

Perginya Seorang Ayahanda


15 Feb- Aku benar2 tak perasan ada `missed call' daripada boss. Papa juga sama. Kemudian Papa segera menelefon boss. Kata boss, doktor minta semua anak2 abah segera ke hospital. Aku dapat rasakan tentulah ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku.

Sepantasnya aku dan Papa bersiap-siap. Semua adik beradik juga Papa pastikan sudah mengetahui hal ini dan minta segera ke hospital. Tiba di hospital, aku dan Papa terus ke wad. Melihat keadaan abah, buat kami sebak. Boss dan suami yang sampai terlebih dahulu telah diberikan penerangan serba sedikit oleh doktor.

Bila adik beradik lain sampai, kami bertuntun mengelilingi katil abah. Menatap abah penuh kesayuan. Tak tergambar perasaan ketika itu kerana semua jadi buntu. Aku membacakan surah Yaasiin buat abah. Emak juga sejak tadi sudah duduk di sisi abah. Kemudian datang seorang ustaz mengajak kami membaca Yaasiin bersama-sama. Kemudian ustaz meneruskan membaca Al-Quran.

Kami seakan-akan memahami bahawa hayat abah sudah tidak panjang. Doktor juga cuba sampaikan maksud yang sama. Kami tidak berganjak di sisi abah. Genap semua anak2 abah dan isteri tercinta juga mengelilingi abah. Dalam hati setiap seorang daripada kami mahu melihat abah sembuh. Airmata semua sudah berderai, Allah saja tempat mengadu saat ini.

Seketika, sudah ramai yang datang menjengah abah. Saudara mara, rakan taulan mula berkumpul. Kami anak-anak masih mengelilingi katil abah.

Tiba-tiba doktor minta kami berredar sebentar, tirai wad katil abah ditutup. Entah apa yang mereka buat, apakah kondisi abah makin teruk? Kemudian doktor memanggil kami anak beranak, sepertinya benar abah bakal meninggalkan kami. Situasi kala ini amat meruntun perasaan. Anak2 abah melafazkan kalimah syahadah di telinga abah, bergilir-gilir, berkali2. Mesin pernafasan sudah menunjukkan getirnya hayat abah...amat getir kala itu.

Aku mengambil kesempatan yang tinggal beberapa detik ini dengan merakamkan gambar kenangan saat2 akhir setiap anak2 bersama abah. Menerusi telefon bimbit aku abadikan detik penuh hiba ini dengan linangan airmata. Aku mahu setiap seorang daripada anak2 abah menyimpannya suatu hari nanti.

Perlahan-lahan abah menghembuskan nafas dan berakhir pada satu detik yang amat-amat memilukan. Semuanya bagaikan mimpi, tak tergambarkan perasaan aku ketika itu. Kami menatap abah sampai saat akhirnya, melihat abah pergi dengan penuh ketenangan. Barangkali abah puas kerana semua anak2nya ada di sisi.

Kami berpelukan, beresakkan, menangis dan menyambut ucap takziah ramai orang. Abah telah pergi pada detik 11.50am ini. Longlai rasanya kaki saat ini, aku tidak berani menyapa ke arah Papa kerana aku dapat melihat betapa peritnya Papa menerima ketentuan ini.

Seterusnya kami berbincang anak beranak untuk menguruskan jenazah abah. Cadangan silih berganti, bertukar pandangan dan memikirkan banyak sudut. Ada cadangkan untuk kebumikan abah di kampung abah di Matang, Perak, ada yang mahukan abah disemadikan di KL besar saja dan akhirnya kami bersetuju membawa jenazah abah ke KL kecil.

Sms dan panggilan telefon bertalu2. Cepat benar khabar ini sampai ke rakan2 media. Ramai yang menelefon dan minta maklumat. Aku sampaikan dengan segera apa yang patut dan ada di antara mereka yang datang ke hospital.

Aku juga menerima panggilan Melodi TV3 tanpa disangka2, minta aku ke udara live untuk memaklumkan pemergian abah. Tepat jam 123opm, dalam keadaan masih kelam kabut, aku ditemubual Abang Wahid dan Fara di Melodi. Khabar tentang pemergian abah aku sampaikan walaupun ketika itu masih belum tahu di mana jenazah abah akan dikebumikan.

Siaran di Melodi itu telah membawa lebih ramai orang datang ke hospital. Ruang ICU berpusu-pusu orang termasuk pihak media. Aku memberi kerjasama yang sepatutnya.

Jam 130pm, jenazah abah dibawa ke rumah boss untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Boss yang berhasrat agar jenazah dibawa ke rumahnya. Emak menurut saja kerana emak faham bagaimana perasaan boss.

Aku minta tolong abang aku, Bob untuk bawa anak2 dan maid aku pulang terus ke kampung. Pakaian aku dan Papa juga, aku minta maid yang uruskan.

Ramai yang datang menziarah arwah abah di rumah boss. Anak2 lelaki abah berpeluang memberi penghormatan terakhir dengan membantu memandikan abah. Kemudian abah dikafankan. Saat ini kami semua mengelilingi abah sekali lagi. Sebelum wajah abah ditutup, kami diberi peluang mengucup abah buat kali terakhir. Terasa amat hiba pada saat ini. Aku masih setia merakamkan detik anak2 abah mengucup jenazah abah menggunakan kamera telefon bimbit.

Sesudah disembahyangkan, jenazah abah dibawa ke KL kecil dengan ambulan. Aku, Papa, D.J dan wan berlepas bersama ke KL kecil. Kami tidak ikut konvoi kerana Papa mahu berada di KL kecil lebih awal bagi menguruskan apa yang sepatutnya.

Sampai di KL kecil, kami terus ke masjid Kg .Tempoyang. Kemudian Papa ke tanah perkuburan untuk melihat keadaan di sana. Tidak lama kemudian ambulan yang membawa jenazah abah sampai, dan abah disembahyangkan sekali lagi di masjid.

Selepas itu, jenazah abah dibawa terus ke tanah perkuburan Kg.Tempoyang. Sudah ramai yang menanti di sini. Oleh kerana waktu sudah merangkak senja, urusan pengkebumian abah dilakukan dengan segera. Segalanya selesai sekitar jam 740pm.

Arwah abah telah selamat disemadikan. Aku, Papa, Put'a, emak, boss dan suami antara orang yang terakhir meninggalkan tempat itu. Doa sebelum melangkah, agar semua urusan abah dengan Yang Satu dipermudahkan. InsyaAllah, semampu mungkin, aku akan terus mendoakan kesejahteraan abah di sana dengan Al-Fatihah dan surah Yaasiin.

Aku tak sanggup menatap wajah Papa, aku amat memahami makna kehilangan. Apatah lagi bila kita kehilangan orang yang kita rapat dan kita cintai. Sejak dalam perjalanan dari rumah boss ke KL kecil, dari tanah perkuburan ke rumah, Papa tak henti-henti menitiskan airmata. Aku sendiri tak berdaya melihat keadaan Papa, sedangkan aku sendiri amat berasa kehilangan abah.

Bagi aku, abah adalah kekuatan kami semua. Abah dilihat sebagai pemimpin dalam keluarga yang amat dikasihi dan dihormati anak-anak. Sebelum aku diterima menjadi keluarga besar abah sebagai menantu, aku sendiri menawan hati abah dengan mengetahui apa yang abah suka dan tidak suka daripada Papa.

Perlahan2 sewaktu masih bercinta dengan Papa, aku mencuri resipi masak kari ikan ala emak yang menjadi kesukaan abah. Menjenguk emak di dapur, aku perhatikan bagaimana emak menyediakan masakan kesukaan abah. Aku juga belajar membancuh kopi ikut citarasa abah.

Semua kenangan dengan abah terbayang depan mata. Sebagaimana sukarnya Papa menerima keadaan ini, aku juga begitu. Namun sebagai anak yang menjadi tunggak keluarga kini, aku tahu Papa masih tidak dapat mempercayai bahawa abah telah meninggalkan kami selamanya.

Di rumah, majlis tahlil diadakan serba ringkas. Sanak saudara masih berkumpul. Malam terasa amat panjang, hilang hilai tawa dan usikan abah seperti selalu. Walaupun emak kelihatan tabah tapi dalam hati siapa yang tahu.

Paling menyedihkan bila malam itu aku melihat Papa membelek-belek telefon arwah abah. Sesekali ada teman abah menelefon, bertanyakan khabar dan Papa setia menjawab. Satu ketika aku lihat, Papa duduk lama di kerusi kegemaran abah.

Sekitar jam 2 pagi, barulah Papa naik ke bilik. Aku menenangkan Papa malam itu, mendengar cerita Papa tentang arwah abah, biarlah aku menjadi pendengar setia untuk Papa. Aku tidak mahu Papa keseorangan dan berasa amat kehilangan. Sukar sebenarnya untuk kami melelapkan mata, seperti ada sesuatu yang kosong......

16 Feb-Hari yang sunyi dan sayu. Saudara mara dan teman2 arwah abah dan emak datang silih berganti. Aku, Papa, boss dan suami menziarah kubur arwah abah selepas Zuhur. Kebetulan ada ustaz di situ, dan kami bertahlil sebentar. Bila boss dan suami pulang, aku dan Papa membacakan Yaasiin dan sedekahkan Al-Fatihah. Nampak sukar untuk Papa meninggalkan pusara abah, aku tahu kesayuan hati Papa. Lama abah memandang pusara abah sebelum kami bergerak pergi.

Tahlil malam kedua diadakan di rumah. Alhamdulillah ramai yang datang. Panjatkan kesejahteraan buat arwah abah.

17 Feb-Seperti biasa, masih ramai yang berkunjung ke rumah dan menziarah emak. Selepas Zuhur, aku, Papa, D.J dan Mak Yan ke pusara arwah abah lagi. Selepas itu kami ke bandar untuk bawa Mak Yan ke klinik, sementara itu, aku mencari pakaian di deretan kedai di situ.

Balik ke rumah, warga SZ sudah sampai. Dean dari Utusan Malaysia juga datang menziarah walaupun sekejap. Tidak lama selepas itu, boss ajak mereka menziarahi pusara arwah abah.

Majlis tahlil malam ketiga diadakan. Ramai juga yang hadir malam ini. Warga SZ juga sempat membacakan Yaasiin bersama-sama.

Boss dan suami pulang ke KL besar malam ni. Boss bagi aku cuti seminggu, tak mengapalah lagipun aku juga berat meninggalkan emak.

18 Feb-Hari ini abang sulung Papa, abang Lizan pula pulang ke Kuantan. Bertambah kuranglah orang di rumah. Aku ke bandar lagi dengan Papa bersama anak2 dan beli barang keperluan.

Balik tu, sempat aku goreng mee hoon untuk makan malam. Maklum saja, memang tak berselera nak makan sejak arwah abah tak ada. Masing-masing tak mahu makan meriah macam selalu.

Memang terasa sunyi sangat malam ni. Majlis tahlil kami buat di rumah bersama anak beranak yang tinggal saja. Anak angkat arwah abah yang mengetuai bacaan Yaasiin dan tahlil.

19 Feb-Papa belikan khemah untuk berteduh di kubur arwah abah. Aku dan emak join Papa ke kubur untuk pasangkan khemah. Sedekahkan Al-Fatihah buat arwah abah sebelum kami pulang.

Di rumah aku tolong memasak untuk makan tengahari pula. Petang masak mee kari untuk bawa ke majlis tahlil di surau berdekatan pula. Papa dan emak pergi dahulu dan kemudian aku dan Saida menyusul.

20 Feb-Pagi2 lagi aku dah siapkan sarapan pagi. Selepas itu aku ajak Papa ke bandar untuk beli rendang yang terkenal di KL kecil ini. Hajat aku nak bawa rendang untuk emak aku petang nanti. Sambil tu, beli juga pulut dan rendang bersama nasi lemak buat semua yang berada di rumah.

Saudara mara dan kenalan emak masih datang menziarah. Selepas solat Jumaat, aku, Papa dan anak2 balik sekejap ke rumah keluarga aku. Tak ada orang lain hanya ada 2 anak saudara dan emak aku saja. Yang lain2 menziarah biras kakak aku meninggal dunia pagi tadi.

Aku tinggalkan rendang yang aku beli pagi tadi untuk emak. Rendang ini antar kegemaran emak dan arwah ayah aku selalu belikan untuk emak sewaktu beliau masih hidup. Kerana itu bila aku balik ke KL kecil, aku akan pastikan dapat beli rendang ini buat emak.

Tak lama di rumah, sebab aku kena balik untuk memasak bagi majlis tahlil malam ni. Emak minta aku masak nasi lemak. Tahlil malam ni dibuat di rumah saja.

21 Feb-Pagi2 lagi dah bantu di dapur, majlis tahlil hari ni dibuat selepas Asar jadinya kena buat persediaan lebih awal. Tengah hari boss dan D.J sampai dari KL besar. Alhamdulillah ramai yang hadir hari ni.

Jam 830pm, bersiap2 untuk balik ke KL besar. Dah seminggu aku di KL kecil, dan anak2 juga tak bersekolah. Kata Papa, nanti dia akan kerap pulang ke KL kecil, aku tak kisah kerana dalam keadaan begini, anak2 adalah kekuatan untuk emak.

Memang berat hati nak tinggalkan emak. Tapi aku tahu, emak juga faham aku dan Saida perlu pulang juga kerana nak menguruskan kerja dan anak-anak bersekolah.

Jam 9malam, aku, Papa, anak2 dan Saida sekeluarga meninggalkan rumah di KL kecil. Moga emak tabah dan tahu bahawa anak2 tetap di sisi emak dalam susah dan senang.

2 comments:

zaffirazaini said...

Hmmmm.... akak seorang isteri, ibu dan menantu mithali.....

Anonymous said...

bertuahnya keluarga nie dapat menantu yg mithali..he2..