Wednesday, July 22, 2009

Selepas SATU...

Selepas konsert SATU, hari-hari yang dilalui menjadi bertambah sibuk. Sehari selepas konsert, hari Isnin, SNP berpakat untuk cuti sehari tetapi desakan kerja membuatkan kami tetap pergi ke pejabat. Aku, Saida dan D.J dah terpacak di opis seawal jam 11am (kira pagi jugakkan..kalau tak kami cuti sebenarnya).

Hari-hari selepas konsert ini aku dapat rasakan kesibukannya. Kerja silih berganti, bermacam-macam perkara perlu dibuat dan dilaksanakan. Namun keghairahan bercerita tentang konsert SATU tidak pernah habis. Rakan-rakan media masih menghubungi, kami berkongsi perasaan di talian, tak kurang juga yang mahu mengadakan sesi khas perbincangan mengenai konsert SATU. Mmmmm..gembira tidak terkata.

Kerajinan Boss bagi aku sesuatu yang membuatkan konsert ini berjaya. Melihatkan jadual latihan dan kehidupan rutinnya, aku terpaksa akur dan berterima kasih kerana Boss menampakkan benar kesungguhannya untuk memberikan kejayaan kepada SATU.

Tulisan di media, tanggapan orang yang menonton dan tak kurang cerita-cerita yang meletihkan telinga bagi aku adalah sesuatu yang biasa selama 14 tahun ini. Biarkanlah kerana apa yang pasti kami sedang bergembira, tersenyum puas dan bersyukur atas kejayaan konsert SATU.

Boss juga nampaknya tak mampu menyembunyikan rasa gembiranya, jika ada selang waktu pasti akan menghubungi bertanyakan respons dan banyak hal tentang konsertnya itu. Isnin sehari selepas konsert, Boss dan suami berbesar hati mengundang warga SNP ke sebuah hotel untuk makan malam bersama di samping meraikan hari ulangtahun Paul.

Kemudian Boss dan suami bergegas pula untuk menonton wayang, aku dan Papa mengambil peluang untuk meninjau gerai-gerai malam di sekitar kawasan berhampiran hotel.

Alhamdulillah, banyak juga undangan menjayakan program yang diterima Saida, Sairah dan Coda. Aku juga berupaya menyelaraskan penerbitan album Saida dan Sairah, produsernya agak sibuk tapi aku tetap memburunya. Begitu juga dengan album kerohanian Boss, aku sudah mula mengadakan temujanji dengan produser, memberinya lagu dan menunggu masa untuk masuk studio sahaja. Aku amat berharap album Saida dan Sairah juga dapat disiapkan sebelum Ramadhan ini.

D.J pada awal Julai ni bercuti, mak mertua aku dan Ali pun ikut sama. Boss juga beria-ria mengajak kami bercuti tetapi warga SNP sudah ada komitmen masing-masing. Aku memang tak boleh ke mana-mana pada waktu ini, banyak kerja kena dibuat. Sudahnya bila emak mertuaku kembali dari bercuti bersama D.J, beliau mengikut Boss pula bercuti di utara tanahair.

Sebelum Boss bercuti, sempat jugalah Boss buat promosi untuk Anugerah Planet Muzik (APM) yang akan berlangsung di Jakarta. Boss ke Astro, tembual Era TV, temubual di Sinar FM dan juga chat di @15 channel.

Hujung minggu seperti biasa, aku dan anak-anak berjalan-jalan dengan Papa. Habiskan masa bersama, makan dan membeli keperluan mereka. Inilah masa yang aku luangkan bersama mereka setelah hampir sebulan lebih tidak mempunyai masa bersama-sama seperti ini.

Minggu ke tiga Julai, aku sudah memulakan fotografi hari raya bersama artis2, ada yang mahu Boss sahaja, ada yang gandingkan Boss dengan Saida dan sairah, ada Boss bersama suami, mak mertuaku juga turut serta dan juga fotografi kumpulan Coda. Entah macam mana, aku pun terselit juga dalam satu fotografi, setelah dipaksa editornya, aku menurut saja. Sudahlah datang sehelai sepinggang, nasib baik ada baju tajaan lebih yang boleh dipakai. Pembantu Nurul juga sudi menyolekkan aku.

Selepas fotografi dengan majalah Harmoni, Boss ajak kami ke Pavillion, beli barang-barang emak. Aku sempat jugalah beli kasut sementara menunggu Boss pilihkan barang2 emak. Saida ikut sama kerana kami masing-masing baru selesai fotografi. Kemudian Boss join makan bersama suaminya kerana mereka ada meeting dan kami yang lain makan di restoran tomyam tak jauh dari tempat Boss makan.

Seterusnya fotografi Boss dan suami pula, untuk majalah Mingguan Wanita, semuanya dapat dijalankan dengan baik, esoknya ada lagi fotografi iaitu untuk 2 majalah sekaligus, Media Hiburan dan Majalah Seri Dewi & Keluarga.

Masa fotografi ni aku berpeluang meninjau bilik hotel yang menempatkan Michael Jackson sewaktu beliau mengadakan konsert di Kuala Lumpur dahulu. Michael Jackson sudahpun meninggalkan pentas, nama, lagu, muzik dan nama tersohornya dan telah kemabali ke pangkuan penciptanya beberapa minggu yang lalu. Aku sempatlah mengabadikan foto kenangan selama berada dalam bilik hotel di Hotel Concorde itu.

Selepas fotografi, kami dibawa pihak pengurusan hotel untuk makan di coffee house dan bila selesai semuanya, kami hantar Boss ke hospital untuk melawat adik iparnya (suami kepada adik DK) dan kemudian kami pulang.

Perancangan untuk program-program Boss sempena Ramadhan dan raya juga sedang dijalankan. Aku juga meninjau tempat rekreasi menarik di Ulu Langat untuk acara akan datang. Sempat juga membeli buah-buahan yang terjual di pinggir jalan, memgapalah aku tetiba jatuh cinta dengan kawasan2 di daerah ini. Bestnya. Masih banyak tempat yang aku tak tinjau rupanya.

Boss juga sempat menyiapkan 4 episod program memasak untuk RTM ``Citarasa Bersama Siti Nurhaliza'' yang bakal dijayakannya sebanyak 15 episod. Boss berkongsi macam-macam resipi di samping selebriti2 jemputan.

Siapa kata selepas konsert masa untuk rehat, kerja tetap berjalan, hari-hari tetap berlari..jenuh mengejar waktu yang datang dan pergi.


Suasana berhimpit-himpit dalam lif selepas fotografi sebelum ke pusat membeli belah berdekatan.

Aku, Saida, mak mertuaku dan A.Z sedang makan masakan Thai, Nurul Shukor, anaknya, pembantunya dan Amir Luqman turut menyertainya kami. (tak nampak dalam gambar).


Inilah salah satu sudut di tempat yang aku suka sangat kat Ulu Langat.


Boss dan Adi yang mengacarakan Era TV.

Boss di konti Sinar FM bersama Linda Onn.

Boss sewaktu chat di @15.


Alaaa..tersesat pula gambar Put'a. Ini aku ambil masa aku berjumpa guru kelasnya untuk ambil buku laporan pelajar. Gaya Put'a yang macho di kelasnya.

Bergambar dengan t-shirt, seluar dan cermin mata yang ditinggalkan oleh Michael Jackson.


Inilah ruang di mana Michael Jackson berkaraoke.


Ini juga di bilik karaoke Michael Jackson.

Coretan-coretan Michael Jackson yang ditinggalkan di bilik hotel dibingkaikan.


Antara bingkai gambar yang terdapat di bilik MJ.


Lukisan MJ oleh Syed Wafa yang ditandatangan MJ.


Di sinilah MJ banyak menghabiskan masanya, menelefon ke luar negara.


Bilik tidur MJ yang masih dikekalkan perabot dan susun aturnya.


Bilik air pun aku redah..... dibuat khas untuk MJ.

Di ruang makan MJ.


Di ruang tamu MJ.

Beginilah suasana Boss sedang menjalani fotografi di bilik hotel MJ.




Sewaktu di coffee house.


Bergambar juga....tak rancang pun.Majalah mana? Hahahah..tunggulah.



Dua gambar di atas ini adalah program memasak ``Citarasa Bersama Siti Nurhaliza'' yang dijayakan Boss, bersama selebriti Vanida Imran dan Rubiah Suparman.

Friday, July 3, 2009

Akhirnya....SATU

26 Jun-Bangun awal, siapkan semuanya lebih awal, kemudian aku dan abangku serta temannya menuju ke IB seawal jam 9am. Sampai di IB, kami memunggah barang2, membuat persediaan untuk memulakan perniagaan di gerai SNP yang ditempatkan di lobi IB.

Walaupun terpaksa memunggah barang berkali2 kerana kedudukan bilik produksi (bilik menyimpan barang) dan lobi agak jauh tetapi kami amat bersemangat. Sedang aku menyusun2 baju, mug, cd, buku cenderamata, buku nota dan banyak lagi, sudah ada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan barangan koleksi Boss dan juga Coda, Saida dan Sairah.

Sewaktu makan tengah hari, aku minta diri ke bilik persalinan Boss, siapkan tiket-tiket untuk media dan tetamu, namakan dan letakkan ke dalam sampul. Bila Boss tiba, aku masih belum menghabiskan kerja-kerja aku mengenai tiket tersebut.

Bilik Boss di belakang pentas telah kami siapkan macam rumah sendiri. Boss sendiri bawa pinggan mangkuk, bekas masak air, toto, tilam , selimut, pemanas badan, biskut dan macam2 lagi. Kami juga pasangkan karpet dan beli pewangi bilik.

Pendek kata, siapa masuk ke bilik Boss akan kata...eh ni nak berumah di IB ke? Hahahaha. Boss sementara menunggu Nurul Shukor datang untuk mekap, sempat makan dahulu. Isi perut supaya tak masuk angin nanti.

Bila Nurul Shukor sampai, Boss pun sedia untuk dimekap. Pertama sekali perkara yang paling penting, suaipadankan apa yang Boss harus pakai di kepala nanti. Bila dah dapat keputusan, Nurul pun memulakan solekannya. Sambil tu, Boss juga dihidangkan makan malam. Oh ! Ya, sejak Isnin lalu sampai Ahad nanti, restoran aku dipertanggungjawabkan untuk menyediakan makanan, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Alhamdulillah ramai yang menggemari masakan dari restoran aku dan makan dengan selera.

Aku juga sesekali ke lobi, melihat gerai jualan dan juga menyediakan tiket2 untuk para tetamu. Malam ini adalah konsert untuk pengguna Maxis atau kami gelarkan Malam Maxis. Ramai VI[p, korporat dan pengguna Maxis yang akan hadir..seperti biasa malam pertama ini juga kehadiran memberangsangkan dan penuh.

Tiket yang aku ada hanya beberapa tiket untuk media atas tiket tetamu dan juga tetamu2 dari ahli keluarga, kenalan rapat, client dan juga penaja.

Selesai urusan tiket, aku kembali ke bilik Boss, menyediakan semua baju2 dan keperluan kostum Boss untuk dibawa ke belakang pentas.

Jam 8.15 malam, semua berkumpul di belakang pentas, kami berdoa dan berharap agar konsert malam pertama ini akan berjaya. Aku juga amat berdebar. Sewaktu ke lobi tadi, aku hampir2 mengalirkan airmata dan amat sebak melihat kedatangan peminat2 Boss termasuk makcik2 dan pakcik2. Amat ketara kehadiran peminat seusia mereka amat ramai.

Aku sampaikan berita ini kepada Boss, dan kata Boss ``Jangan cakap macam tu, nanti S.....pulak yang menangis''. Ya..aku amat terharu melihatkan sokongan peminat2 Boss.

Jam 8.30pm, Aizat sebagai artis yang membuka tirai konsert menyampaikan beberapa buah lagu, istimewa untuk pelanggan Maxis. Aku dan Boss sudah turun ke bahagian bawah pentas, Boss akan naik menerus lif 3 untuk pembuka acara nanti.

Bila Boss sudah di atas lif, aku terus berlari naik semula ke belakang pentas. Sepanjang konsert berlangsung hampir 2 jam setengah itu, aku puas. Boss nampak amat bersungguh2 menghiburkan penonton.

Sepanjang konsert berlangsung aku mundar mandir di belakang pentas, bila tiba waktu Boss keluar untuk salin pakaian, kami bergegas masuk ke bilik persalinan. Hanya sekitar 2 minit waktu yang ada..sepantasnya kami melakukan semuanya. Setiap kali berehat, Boss juga akan minum air dan kembali ke tepi pentas untuk meneruskan konsertnya.

Perjalanan konsert lancar dan berakhir dengan baik. Malam ini ramai penonton warga emas dan pelanggan Maxis yang mungkin malu untuk bersorak tetapi kepuasan dapat dilihat di wajah mereka.

Selepas tamat konsert, Boss singgah di bilik sebentar kemudian kami dibawa ke majlis Maxis. Ada majlis penyerahan cek kutipan tiket malam pertama Maxis untuk Yayasan Nurjiwa. Selepas majlis Boss bertemu pihak media yang hadir.

Alhamdulillah, ramai yang memuji, post mortem juga harus dibuat. Selesai bertemu media, kami kembali ke bilik. Duduk berbincang. Apa yang perlu ditukar, perlu diubah...semua diselesaikan malam ini juga.

Aku meninggalkan IB pada jam 1.30am....dengan kepala masih berfikir........berfikir kerana ada yang harus dilaksanakan lagi.

27 Jun- Hari ini aku memang tak mahu pergi awal ke IB, abang aku dan temannya sudah ke IB pada jam 8.30am untuk berniaga di gerai.

Aku dan A.Z ambil Boss di rumahnya kemudian ke IB. Hari ini Boss nak datang awal kerana ada beberapa perkara hendak dibincangkan dengan pengarah konsert Pat dan Aubrey. Aubrey tak dapat hadir. Ada beberapa pertukaran kecil yang Boss buat dan apa yang dipaparkan malam nanti berbeza sedikit dengan konsert malam tadi.

Macam biasa bila Nurul Shukor sampai, Boss mulakan mekap. Aku juga siapkan tiket2 media dan tetamu. Nasib baik ada PR dari IB yang sudi membantu. Semua tiket2 aku serahkan kepada mereka.

Di belakang pentas macam biasa, semua baju2 Boss sudah digantung, aksesori, kasut, minuman dan lain2 sudah disiapkan. Malam ini konsert dimulakan awal, jam 830pm kerana Aizat tidak membuat persembahan. Seperti biasa panggung juga penuh dengan penonton. Malam ini sambutan daripada penonton amat baik, ramai yang sporting.

Macam biasa, keadaan kami di belakang pentas tak perlulah diceritakan. Bila Boss masuk nak salin baju saja, keadaan jadi gegak gempita. Masa yang ada harus ditepati, jika tidak perjalanan konsert akan terganggu. Bila Boss masuk semula kem pentas, barulah kami kemas semula segala benda yang dah tunggang langgang dalam bilik tu.

Tamat konsert, Boss bertemu peminat. Malam ni Boss muncul dalam sesi tandatangan walaupun masa yang diberikan tak panjang kerana ada sidang media dan jamuan makan di bilik media. Rata-rata peminat agak terkilan kerana Boss hanya luangkan masa sekitar 30minit.

Nak buat macam mana kan.....di sini menanti, di sana menunggu..cewah!

Boss masuk ke bilik media, makan2 kejap dan kemudian bertemu media, ada sesi soal jawab. Kembali ke bilik, berbincang lagi, post mortem lagi. Huhuhu. Ada kerja lagi dalam kepala otak aku ni......

Balik ke rumah jam 2am dengan hati yang tak senang...ada benda tak selesai lagi..huhuhuhu.

28 Jun-Pagi2 lagi aku dah telefon Rizman, hari ni masuk kali yang kedua Rizman tolong buatkan baju dalam masa sehari. Malam tadi Rizman balik kampung, hari ni dia masih di kampung, petang nanti barulah sampai ke KL besar.

Ada 1 segmen baju pada malam konsert pertama harus ditukar, kemudian Rizman dipertanggungjawabkan untuk buat baju gamti dalam masa sehari, bila dah siap dan dah dibawa ke pentas, warna pula tak sesuai.....kena tukar lagi untuk konsert malam ini. Nasib baik Rizman sudi membantu.

Hari ini aku di rumah sabar menanti Rizman pulang. Sebelum tu ajak Papa beli barang2 dapur terlebih dahulu. Bila Rizman dah sampai ke KL, aku dan Papa ke rumah Rizman dan tengok baju yang dicadangkan. Pat mahu warna hitam..ya, ada baju yang boleh di alter. Rizman tambah sana sini.

Aku dan Papa terus ke IB, sampai saja di sana aku siapkan tiket2 media dahulu. Berikan kepada rakan PR dari IB yang masih membantu malam ini.

Hari ini Kris Dayanti dan Rossa akan datang menonton konsert Boss. Aku dan pihak pengurusan sudah aturkan kemudahan kedatangan mereka. KD sampai awal, jumpa Boss di bilik terlebih dahulu dan kemudian aku bawa KD ke bilik media, ada makan-makan disediakan. Berborak2 dengannya, tak kurang juga tentang projek album duet beliau bersama Boss nanti.

Tetamu VVIP malam ini, YABhg Tun Dr.Mahathir dan isteri juga hadir memberi sokongan pada Boss, kemudian Rossa pula tiba.

Bila urusan kedatangan tetamu selesai aku kembali ke bilik Boss. Kemudian siapkan keperluan Boss di belakang pentas. Malam ini malam terakhir konsert, memang ada semacam perasaan yang sukar digambarkan. Memang tak sanggup nak lepaskan malam terakhir, rasa amat sekejap konsert berlangsung walaupun sudah 3 hari.

Malam yang gamat, penonton pun best, Boss pun bagi 1001%, semuanya ok. Kesudahan konsert yang aku amat berasa puas. Boss sempat ke bilik media dahulu, bertemu Tun dan isteri, rakan2 artis, pihak media dan kenalan yang menunggu sambil menjamu selera. Ucapan tahniah bertalu2.

Lepas menjamu selera, Boss minta diri untuk ke sesi bertemu peminat. Malam ini Boss cuba puaskan hati peminat walaupun ramai yang beratur mendapatkan tandatangan. Bila selesai, Boss kembali ke bilik media untuk temubual. Rakan2 media yang datang juga mengucapkan tahniah dan memuji persembahan Boss. Boss memang nampak amat gembira.

Selepas temubual, kami diam2 buat sambutan hari lahir Paul, D.J dah sediakan kek. Senyap2 Boss bawakan kek ke arah Paul dan yang lain2nya menyanyikan lagu `Happy Birthday'. Sesi bergambar beramai2 pula diadakan sebelum Boss pulang ke rumah.

Puas! Aku dapat lihat di wajah setiap seorang yang terlibat dalam konsert Satu. Bila Boss dah pulang, aku dan yang lain2nya mengems bilik Boss, kosongkan barang2 semua dan punggah ke dalam kereta,

Seperti biasa, jam 2am baru sampai ke rumah. Penat...mmmmm..mungkin tapi kerja dah habis dan rasa seronok sangat!





























Banyak yang telah diterjemahkan perjalanan karier seorang Boss dalam konsert Satu. Setiap satu segmen menceritakan semuanya, lirik, lagu, muzik, cahaya, visual, tarian..semuanya berpadu menceritakan kisah.
Apa yang terlintas di kepala aku sekarang apakah akan ada Boss...The Musical. Penaja......jangan malu2 memberi tajaan ya, kalau ada penaja insyaAllah bolehlah buat. Dah ada penulis skrip yang seakan sudi.....harap2 jadilah ya.
15 tahun Boss nanti.....fotobiografi, the musical...apa lagi, komik......mmmm..macam2 ada!

Persiapan menuju `SATU'






Gambar-gambar di atas ini adalah beberapa momen yang sempat kami rakamkan sewaktu Boss menjalani latihan tarian dan muzik.

Memang latihan mengambil masa yang lama dan panjang tetapi semua ini adalah untuk kelancaran konsert SATU sebagaimana yang Boss janjikan untuk berikan yang terbaik.

20 Jun-Pagi ini aku sempat siapkan sarapan/makanan tengahari untuk keluarga sebelum keluar lagi menemani Boss ke sesi latihan penuh sebelum kami semua memasuki Istana Budaya bermula Isnin nanti.

Semua tenaga kerja yang terlibat berkumpul di studio latihan menari dan kami memulakan latihan penuh dari A-Z sebagaimana perjalanan show di IB nanti. Memang agak berdebar untuk mempersembahkan latihan penuh ini kerana hari inilah buat pertama kalinya ia diadakan.

Alhamdulillah, masa dicatat 2jam 10 minit, tidak termasuk muzik interlud, chit chat dan juga tayangan grafik lagi. Aku agak berpuas hati melihat perjalanan latihan penuh hari ini, sedikit sebanyak melonggarkan sedikit kegusaran aku.

Memang tidak mudah untuk memberikan kelancaran dan kesinambungan yang tepat, bagus, tidak membosankan dalam sesebuah konsert atau persembahan, masih ada masa untuk memperbaiki apa yang patut. Sekurang-kurangnya untuk sesi latihan penuh yang pertama ini, aku berpuas hati.

Selepas tamat, Boss balik ke rumah dengan suami, aku dan A.Z terus pulang ke rumah juga. Kemudian ajak Papa beli barang dapur sikit. Esok aku perlu ke J.B, malam ini aku siapkan bahan-bahan nak masak pagi esok.

21 Jun-Jam 5.30am, aku dah bangun, goreng mee dan masak makanan tengahari. Aku kena siapkan makanan juga sebab nak tinggalkan Papa dan anak-anak. Macam biasa, nak harapkan maid aku, jauh sekalilah. Lega bila makanan dah siap, aku terus mandi dan bersiap2 untuk ke rumah Boss.

Biasanya kalau nak ke KLIA, aku dan A.Z bergerak dari rumah saja tapi kali ni Boss minta naik keretanya dengannya sekali. A.Z yang memandu. Bila dah sampai ke rumah Boss, dah masuk kereta, tiba-tiba Boss bimbangkan H1N1 pula kalau naik kapal terbang.

Hahahah...D.J memang dah ada kat KLIA. Ubah rancangan, kami sepakat naik kereta saja ke J.B. Kalau naik flight, jam 11.30am nanti sampai J.B, kalau kami bergerak sekarang menaiki kereta pun sama juga waktunya.

Akhirnya aku, A.Z, Boss dan suami naik kereta saja ke J.B. Hari ini Boss akan jadi juri dan membuat persembahan untuk program RasaMas. Sampai di J.B, kami terus ke hotel, makan-makan, tunggu Boss bersiap2 dan kemudian ke tempat acara.

Ramai juga yang datang menyaksikan program RasaMas peringkat akhir, beberepa chef bertanding untuk merebut gelaran juara dengan resipi masing2. Boss dan Tunku Maria (Jalan-Jalan Cari Makan) antara yang jadi juri bersama dua orang juri lagi. Lama juga program ni berlangsung, aku dan D.J sempat ke KFC berdekatan untuk makan tengah hari.

Lepas acara memasak selesai, sementara menunggu keputusan, Boss menyampaikan 3 buah lagu menghiburkan penonton. Sewaktu menyanyikan lagu Di Taman Teman, Boss mengajak para chef yang bertanding menari di pentas bersamanya.

Tamat acara, kami kembali ke hotel dan bersiap-siap untuk pulang ke KL. Hampir jam 1.30am aku sampai di rumah. Penatnya usah cakaplah.....

22 Jun-Selesai urusan di rumah, aku ke opis. Agak pagi juga kerana amat banyak kerja yang harus diselesaikan. Sampai tak menang tangan. Pihak teknikal dah pun masuk ke IB hari ini. Kerja-kerja di IB dah bermula, pasang sistem, lampu, props dan lain2.

Jam 2pm, semua pihak yang terlibat dalam konsert Satu termasuk Boss berkumpul, bacaan doa selamat diadakan bagi kelancaran acara kami selama seminggu di IB.

Boss masih meneruskan latihan muzik di tempat biasa hari ini. Macam biasa, latihan muzik juga dibuat seperti latihan penuh, A To Z. Selepas selesai latihan, kami terus pulang.

23 Jun-Aku ke opis lagi, siapkan kerja-kerja akhir. Makin dekat dengan hari konsert, makin banyak benda yang harus dibuat.

Boss masih berlatih dengan pemuzik di tempat biasa hari ini, belum boleh berlatih di IB lagi kerana barang-barang masih dipasang.

Sebelum ke tempat pemuzik, Boss singgah di IB kerana para designer (Amir Luqman, Michael Ong dan Rizman Ruzaini) datang untuk `fitting' baju2 Boss. Biasalah ada yang ok dan ada yang masih belum ok. Ada beberapa pertukaran juga yang dibuat dan tak kurang juga betulkan ukuran.

Selepas selesai fitting, Boss berlatih beberapa segmen dengan para penari. Ulang kembali beberapa langkah tarian yang telah diajar oleh Pat/koreografer.

Masa dah tak lama lagi, debaran kami sudah mula terasa. Selesai awal di tempat pemuzik hari ini, sebelum Maghrib dah selesai. Alhamdulillah.

24 Jun-Hari ini macam biasa bangun awal, siapkan semua urusan di rumah kemudian aku ajak Papa ke Giant berdekatan untuk membeli beberapa barangan. Kebetulan bertemu Aiman di Giant dan aku minta tolong Aiman angkat almari/rak yang aku beli ke dalam troli. Dan Aiman juga temankan aku belikan beberapa barang keperluan di konsert nanti.

Kemudian aku, A.Z dan D.J ambil Boss untuk ke IB. Hari ini Boss dah mula berada di IB. Sementara Boss berlatih, aku juga tengok-tengokkan persediaan untuk pameran baju-baju Boss di lobi IB. Bertungkus lumus pihak senireka/pameran IB yang banyak membantu. Esok pameran dijangka bermula.

Latihan Boss sampai ke malam hari ini. Beberapa perkara teknikal saja yang belum selesai dan masih ada beberapa hari lagi.

Aku masih pening dengan kedatangan media/tetamu. Tiket amat terhad dan tidak mencukupi. Tak mudah nak puaskan hati semua orang tetapi aku mesti berusaha walaupun mungkin tak memadai untuk semua permintaan yang datang kepadaku. Serius..pening dan buntu.

25 Jun-Seperti biasa aku keluar awal hari ini dan terus ke IB. Seronok melihat pameran baju2 Boss dah pun berada di lobi IB. Ada 12 pasang baju walaupun masih banyak koleksi lain yang penuh kenangan tak dipamirkan. Nanti kalau ada rezeki pamir yang lain pula ya.

Abang aku Bob yang membantu untuk jualan barang2 cenderamata SNP dan temannya juga dah turun membantu. Punggah barang-barang dari Cheras ke IB dan tolong pasangkan rak/almari tempat letak baju2 yang aku beli tadi.

Hari ini agak sibuk kerana malam nanti latihan penuh akan dimulakan di panggung IB. Aku minta Boss rehat, tenangkan fikiran dan bersiap untuk latihan penuh konsert. Malam ini juga Boss akan memakai baju2 yang disediakan, masa akan dicatat, amat penting latihan malam ini.

Aku dah siap sedia untuk persediaan baju2, aksesori dan keperluan Boss di bilik persalinan di belakang pentas. Semua harus dibuat sebagaimana hari konsert, perjalanan dan kelancaran latihan malam ini menentukan bagaimana kami harus bersedia untuk hari2 berikutnya.

Sepanjang latihan penuh konsert yang berlangsung selama 2 jam 10 minit itu, memang ada beberapa `post mortem' yang harus kami buat terutama beberapa baju Boss termasuk apa yang boleh disuaipadankan untuk menutup kepala Boss.

Selepas tamat latihan, kami minta Boss balik dulu, biar aku kemaskan apa yang patut dan berbincang dengan pihak produksi lainnya. Biarlah Boss berehat kerana esok adalah hari penting baginya.

Malam itu aku sampai di rumah jam 1.30am, memang rasa amat penat. Macam nak patah tulang belakang.

InsyaAllah kerja keras selama sebulan setengah ini aku doakan membuahkan hasil. Waktu rehat dan bersama keluarga memang tak cukup, perhatian kepada anak-anak juga tidak seperti selalu, waktu cuti pun aku masih bekerja, Papa juga jarang-jarang aku dapat berbual dengannya, hidangan di rumah tidak banyak dan sempurna seperti selalu, beberapa tugasan untuk artis2 aku yang lainnya ada yang ditangguhkan walaupun aku telah cuba berikan sebaik mungkin.....apa lagi???? Biarlah kejayaan menyusur selepas ini.....nescaya semua yang terlepas ini akan menjadi baik-baik saja.