Wednesday, January 28, 2009

Cuti & Kerja

27 Jan-Pagi-pagi lagi aku dah terjaga, memang malas sangat nak bangun tapi tak bolehlah kan....
Mak dan bapa mentua aku keluar pagi, mak kata nak cari sarapan pagi. Sementara menunggu mereka balik, aku dan Put'a bancuh air dan cicah teh o dengan biskut buat alas perut. Lagipun aku dah terbiasa bangun pagi mesti makan sikit, selalunya temankan Put'a yang nak ke sekolah bersarapan.

Mak mentua balik belikan roti canai, aku makan sikit saja dan temankan Papa makan. Selesai sarapan, aku bantu mentua di dapur siapkan makan tengah hari sebelum berehat sebelum mengemas. Hari ni rezeki mak mentua aku dapat beli banyak jenis ikan sungai. Keluarga mentua aku ni memang suka makan ikan sungai.

Ada yang dimasak gulai tempoyak, ada yang digoreng. Oleh kerana aku tak makan ikan sungai, aku pun masak lauk yang aku suka, mudah saja..telur.

Sebelum jam 3 petang memang habiskan masa di rumah mentua saja. Lepas tu terus balik ke KL besar sebab tak mahu menempuh traffic jam kalau lambat keluar rumah. Tiba di Raub memang dah mula jam dan Papa ikut jalan alternatif lain untuk keluar ke Bentong.

Sampai di Bentong jam juga. Bila dah masuk highway dan melepasi tol, jalan semakin ok sampailah ke rumah. Sebelum balik tu aku singgah di gerai nasi ayam, beli bungkus sebab malas nak masak untuk makan malam.

Sampai je ke rumah, selepas hidangkan makanan anak-anak dan Papa, aku mula sibuk membasuh kain baju yang banyak sewaktu balik ke kampung. Bukan aku yang basuh, mesinlah yang basuh. Aku jemur baju anak-anak malam tu juga sebab esok nak jemur baju orang dewasa pula. Nanti tak muat pula ampaian.

D.J bawakkan kek lapis masam manis yang aku tempah daripada mak dia. Habis jugalah 3-4 potong sebelum aku tidur. Aku nak tidur awal sebab esok banyak kerja, biasanya kalau banyak kerja aku nak rehatkan minda dulu.

28 Jan- Aku memang akui berkali-kali membaca surat yang diberi oleh cikgu Nabil bahawa Rabu sampai Jumaat, Nabil kena sekolah. Walaupun aku pelik mengapa kena sekolah sebab sekolah sedang bercuti 10 hari tapi aku tak kisahlah.

Pagi ni Put'a dan Damia hantar Nabil ke sekolah. Kemudian Put'a balik bagitau aku sekolah Nabil berkunci dan tak ada orang. Aku dah agak mesti aku ni tersalah baca ke apa ntah. Walaupun aku dah baca berkali-kali tapi aku tetap heran mengapa aku salah baca? Tak mengapalah..maknanya Nabil masih bercuti, 3 Februari nanti baru bersekolah semula. Put'a saja yang bersekolah petang ni tapi sekolah agama saja.

Aku siapkan makan tengah hari dengan pantasnya hari ini. Ada seekor ikan siakap yang maid aku letak dalam sink, aku tahu itu ikan yang Papa dapat masa memancing semalam. Tanpa berfikir, aku terus potong ikan siakap, dagingnya aku goreng dan bahagian kepalanya aku buat gulai lemak. Masak beberapa lauk lagi tapi semuanya ringkas sebab aku perlu bersiap untuk pergi kerja.

A ambil aku di rumah, dan kemudian ke opis bertemu Coda. Semua anggota dah sampai kecuali Freddy, tunggu dia sampai dan kemudian kami semua berangkat ke pejabat Utusan Melayu, tempat kerja aku dulu.

Hari ni Coda ada fotografi dan wawancara dengan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo. Semuanya berjalan lancar dan aku sempat bersembang dengan rakan wartawan masa aku kerja dan baik sampai sekarang termasuk editor aku dulu, abang Ku Seman. Jumpa dan sapa dia kejap saja, aku ucapkan takziah atas pemergian isterinya beberapa bulan lalu.

A.Z ambil aku di Utusan dan kemudiannya bergerak ke rumah boss. Hari ni boss ada rakaman untuk lagu Palestine berjudul Suara Sepi (Di Bumi Anbia). Lagu oleh Johari Teh dan lirik Habsah Hassan. Studio yang dipilih tak jauh dari rumah boss, sampai saja di studio, boss kena interview dengan wartawan Melodi TV3. Kata mereka, temubual dengan boss masa pelancaran album dahulu audionya tak keluar dan kali ni mereka datang untuk interview sekali lagi. Dalam 10 minit temubual, boss terus memulakan rakaman suara untuk lagu ni.

Tak lama, setengah jam saja dah siap. Lagu ni adalah sumbangan boss untuk kempen menghapus peperangan dan penindasan ke atas Palestine. Pada show 31 Jan di Istana Budaya nanti, boss akan bawakan lagu ini.

Selesai studio, boss ajak singgah di farmasi, tempat yang paling disukainya. Boss ni boleh habiskan masa berjam di farmasi kalau tak ditegur, tapi hari ni dia dah set barang apa yang nak dibeli, jadinya kejap sajalah.

Selepas hantar boss balik rumah, A.Z awal-awal lagi dah bagitau yang dia akan terus hantar aku balik rumah. Hehehhe..aku faham, dia ada date, biasanya kalau nak gi dating macam tulah. Tapi kalau takde apa-apa hal, kami mesti lepak minum2 dulu.

1 comment:

tuan punya hati said...

o akak dulu kerja kat utusan melayu.. patutlah pandai mengarang...hehe sorilah.. byk lg yg belum thu ni..