Wednesday, January 21, 2009

Setelah sekian lama.....

Tahun 2006 mencatat banyak kisah dan tahun itu juga menjadi antara sebab mengapa aku terpaksa memberhentikan penulisan dalam blog dan juga melupakan sejarah hari yang dilalui. Tidak mudah menulis sesuatu hanya sekadar mengisi makna hari yang aku sendiri tidak pasti apakah tulisan dan catatanku itu akan memberi erti. Bukan mudah juga mahu meninggalkan sesuatu dengan tiba-tiba tetapi setiap takdir yang datang aku sendiri tidak mampu meneka.

Barangkali jika punya waktu akan aku imbas kembali 2006, 2007 dan 2008 yang aku kira punya pelbagai kisah yang begitu terkesan di jiwa. Suka, duka, bahagia, lara, kecewa semuanya menjadi ceritera yang ada antaranya tak mampu ditulis dengan tinta, diingat dengan minda dan ditajamkan dengan rasa. Segala yang berbekas di hati bukan semua mahu dikongsi namun minda menjadi diari..barangkali diingat sampai mati.

Sejak menulis blog seawal 2003, aku kira segalanya mungkin kan berubah dan tidak menjadi seperti sedia kala. Hari, masa, usia, keadaan dan banyak perkara yang sama mengiringi perjalanan hari memungkinkan semua ini beralih situasi. Mungkin aku akan menulis dengan lebih terbuka, atau juga meletakkan diri menjadi lebih rela berkongsi cerita aku, dia dan siapa-siapa, boleh jadi juga aku masih memilih menulis dalam rahsia. Entah..aku mula mencatat sesuatu hari ini dengan situasi dan posisi diri yang dilabel: senang hati.

Januari 2009: Awal tahun yang sibuk dengan urusan anak-anak. Put'a (dahulunya aku menulis PSNN) akan masuk darjah 3 dan Nabil (dahulu: Junior) akan memulakan tahun pertama bersekolah tadika walaupun sudah berusia 6 tahun. Bagi yang belum tahu, Nabil anak yang hyper active tetapi masih boleh dikawal. Tidak ada masalah besar tentang dirinya cuma sewaktu Nabil berusia 5 tahun aku fikir biarlah Nabil belajar di rumah dahulu.

Segala persiapan sekolah Put'a aku dahulukan kerana dia bakal bergelar pengawas sekolah. Kelengkapan seragam sekolah semua harus ditukar baru. Aku mengajak Put'a sendiri memilih apa yang disukainya. Ahad, 4 Januari, persiapan untuk Put'a lengkap. 1 jam aku memanggil Put'a, memberi nasihat, motivasi dan bercakap soal penampilan, kebersihan dan yang penting tanggungjawab. Aku kira bila sudah bergelar pengawas sekolah, Put'a harus lebih berketrampilan dan mampu menjadi bukan sahaja murid malah anak yang baik dan bertanggungjawab. Adakala airmata Put'a bergenang, aku tidak tahu apa yang Put'a fikirkan tetapi sejak darjah 1 sampailah hendak masuk darjah 3, aku memang bercakap cara orang dewasa dengan Put'a.

Mr.Roland, cikgu Nabil, menyuruhku menghantar Nabil ke sekolah pada hari Rabu. Ada seorang guru khas yang memang khusus aku bayar untuk mengendalikan Nabil. Kelas Nabil juga tidak ramai, hanya 5-6 orang dan selain guru yang biasa mengajar, di sebelah Nabil akan ada guru khas yang memantau Nabil.

Damia (nama ini belum ada dalam blog sebelum ini;dia adik kepada Put'a dan Nabil, baru berusia 1 tahun 6 bulan) ada tugas khas setiap pagi iaitu menghantar Nabil ke sekolah. Hehehhe...pembantu rumahku, Nor, akan mendukung Nabil yang manja (ahaks!) ke sekolah di hujung rumah dan Damia hanya dipimpin. (Nabil ni degil, kalau tidak didukung dia tak mahu ke sekolah).

Musim persekolahan ini, biasalah sebagai ibu tentulah aku tidak cukup tidur. Jam 6am sudah bangun, selepas Subuh siapkan Put'a ke sekolah. Lena sekejap, jam 8am bangun lagi untuk siapkan Nabil pula, dan biasanya selepas Nabil ke sekolah aku terus menyiapkan sarapan pagi dan makanan tengah hari seisi keluarga. Rutin aku sehari-hari beginilah. Selesai semuanya barulah memulakan kerja atau ke pejabat. Jika ada urusan kerja di subuh pagi, aku akan bangun jam 5 pagi menyediakan semuanya. Seronok bukan?

Tentang dia (dia:bossku, dulu aku menggelarkan dia.sekarang aku namakan boss) pula, Alhamdulillah aku masih lagi bersamanya, bekerja dengannya dan mengatur perjalanan kariernya.

Sejak September tahun lalu, aku sibuk menguruskan rakaman album terbarunya.Untuk memulakan sesuatu produksi memang tidak mudah. Terlalu banyak yang harus dilaksanakan dan diperinci. Alhamdulillah, 26 Disember tahun lalu, album tersebut sudah diedarkan. Kesibukan sebelum album keluar dan selepasnya boleh dikatakan sama. Banyak yang harus diaturkan pula termasuk promosi dll. Setakat ini lingkup kerja masih berkitar tentang album. Team kerja sudah bertambah berbanding 3 tahun lalu, jadinya kerja boleh dibahagi-bahagi.

Oh!Ya, aku bukan saja menguruskan soal bossku saja sekarang ini, sudah ada 3 keluarga baru di SNP iaitu Saida, Sairah dan Coda. Coda sedang menanti album dikeluarkan, sekarang aku sedang berurusan dengan pengedar album. Saida dan Sairah akan merakamkan album duo, paling lewat di pasaran Jun nanti. Namun di permulaan karier mereka, Saida sudahpun mempunyai 1 single dan Sairah 2 single. Mereka bertiga ini adalah revolusi baru dalam kerjayaku setelah 11 tahun menguruskan boss bersendirian. Mungkin kerja bertambah tetapi aku kira formulanya tidak jauh berbeza cuma tuah manusia sahaja yang tidak bisa dijangka.

1 Jan- Malam menjelang 1hb, kami sekeluarga menyambut ulangtahun ibu mertua dan adik iparku, A di sebuah restoran Arab. Itulah pertama kali aku makan di restoran Arab, tak banyak pilihan, aku memilih nasi beriyani ayam sahaja. Mungkin memang payah nak masuk selera, aku minta cili padi. Malangnya tak disediakan cili padi, kata waiter di situ, orang Arab tak makan pedas.

Aku, Papa, Put'a, Nabil dan Damia ikut sekali ke majlis ringkas yang diadakan oleh boss. Oleh kerana ibu mertua dilahirkan pada 31 Disember dan A pada 1 Jan, majlis diadakan sekaligus. Staff SNP juga hadir dan selebihnya kami semua bersembang-sembang kosong sahaj

Hari ini hanya lepak di rumah, petang barulah keluar dengan Papa dan anak-anak.Memikirkan esok dah mula bekerja, aku memilih untuk santai sahaja hari ini.

2 Jan- Oleh kerana beban kerja agak banyak dan seperti biasa aku diserang `migrain'. Urusan boss hari ini aku tidak serta. Rehat sekejap di rumah dan tengah hari baru aku ke opis.

4 Jan-Papa balik memancing subuh hampir jam 7 pagi. Rutin Papa kalau bapa mertuaku ada di KL adalah memancing. Adakala melebihi 12 jam di kolam mancing. Nak buat macam mana kan, dah minat mereka. Memandangkan Papa hanya akan tidur sepanjang hari, aku ikut kakak dan anak saudaraku ke Mid Valley. Beli lagi keperluan yang patut, aku bawa Damia. Punyalah susah nak barang, maklumlah bawa budak.

5 Jan- Hari persekolahan bermula. Seperti biasa aku menguruskan Put'a, pastikan segalanya ok dan sediakan sarapan untuknya. Aku dan Papa menghantar Put'a ke sekolah, aku mengambil keputusan untuk menunggu sehingga perbarisan tamat. Banyak yang aku dapat dengar dari ucapan guru disiplin dan pengetua sekolah dan ia akan jadi panduan kepadaku untuk mendidik Put'a. Selepas menghantar Put'a ke kelas, aku pulang dan terus mengajak Papa menguruskan sekolah Nabil pula. Bila semuanya selesai barulah aku ke opis.

7 Jan-Boss menjalani penggambaran video klip lagu Cinta Ini dari album terbarunya. Bermula jam 3pm dan habis jam 830pm. Boss minta dihantar ke hotel, ada janji dengan DSK (DSK:nama suami boss).Seterusnya aku dan A.Z (A.Z:team SNP) ke rumah boss menghantar kereta.

8 Jan-Boss ada fotografi untuk iklan2 Jusco. Oleh kerana banyak kerja di pejabat, DJ temankan boss dahulu dan selepas lunch aku pula datang ke studio fotografi.

10 Jan- Sitizone mengadakan gathering dan sambutan hari jadi untuk boss hari ini. Boss sangkakan hari esok tetapi dia masih sudi datang bke majlis itu bersama suami. Menghabiskan masa hampir 2 jam bersama Sitizone, kemudian kami pulang. Aku sempat jadi mc bidan terjun bagi melancarkan lagi perjalanan majlis.

Hari ini juga Saida dan Sairah ada show. Aku dan team SNP sudahpun membahagi2kan kerja walaupun boss ada acara hari jadi di rumahnya. Aku akan menemani Sairah malam ini tetapi petang itu boss menelefon minta datang ke rumahnya lebih awal. DJ (DJ:Team SNP) yang mengambil alih tempatku bersama Sairah dan jam 630pm aku sudah berada di rumah boss. Membantu apa yang patut hinggalah lewat malam. Boleh dikatakan semua ahli keluarga hadir walaupun tidak semua datang serentak. Tema majlis pink dan putih, ramai yang mengatakan seperti majlis hari jadi untukku....maklumlah pink. Dan akulah yang paling pink menyala malam itu kerana tema untuk tetamu wanita, pink dan tetamu lelaki, putih.

15 Jan lalu, album boss telah selamat dilancarkan. 2,3 hari sebelumnya aku asyik pulang lewat ke rumah. Semampunya mungkin aku mahu melaksanakan majlis itu dengan jaya dan lancar. Pagi hari pelancaran, aku ke rumah boss untuk menjemputnya dan terus ke lokasi. Boss bersiap di lokasi di DTR di Jalan Bukit Bintang. Aku keluar masuk bilik persalinan ke dewan tempat acara berlangsung berulang-ulang. Mahu saja badan dikerat dua.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, kehadiran hampir 100%.Para komposer dan penulis lirik kebanyakannya dapat hadir cuma 2, 3 orang sahaja yang ada urusan waktu itu. Surprise akhir majlis iaitu pulut kuning sempena hari jadi boss agak kelam kabut, lagu hari jadi dah berkumandang tetapi pulut kuning belum tiba. Aduhai!!! Tapi berjaya juga akhirnya pulut kuning di bawa ke pentas.


Boss cuti rehat 2 minggu. Namun beberapa kerja diselesaikan juga. Banyak permintaan tapi boss minta tangguhkan dulu. Sepanjang hari ini aku di pejabat sahaja. Sengaja datang lewat kerana menyelesaikan beberapa urusan di rumah.


























2 comments:

tuan punya hati said...

alamak .. jgnlah bdn tu dikerat dua.. haru biru nanti..

tuan punya hati said...

":10 Jan- Sitizone mengadakan gathering dan sambutan hari jadi untuk boss hari ini. Boss sangkakan hari esok tetapi dia masih sudi datang bke majlis itu bersama suami. Menghabiskan masa hampir 2 jam bersama Sitizone, kemudian kami pulang. Aku sempat jadi mc bidan terjun bagi melancarkan lagi perjalanan majlis."

akak.. thanks a million, sudi membantu kami.. thanks jugak.. boss akak sudi dtg...