Thursday, February 5, 2009

Happy Birthday Sayang!!!!!

Penghuni Hati
(Sempena hari kelahiran Papa yang ke 37, 4 Februari 2009)

Amat kecil rumah yang ku bina
Tersendiri tapi sempurna
Terisi segenap ruang yang ada
Dengan dinding kasih, bertiangkan cinta

Tiada perkakasan berharga
Hanya doa penuh setia
Bumbungnya mungkin hanya rumbia
Kekal jadi teduhan setiap masa

Yang menyinar terang itu adalah cahaya
Dari lampu hati yang tak perlu ditanya
Sebanyak mana pengorbanan jiwa
Di sudut mana mengukir bahagia

Rumah kecil adalah diriku sendiri
Dan kau menjadi penghuni hati
Menduduki daerah paling sepi
Memberi sinar paling abadi

Tetaplah di sini sayangku....
Jangan kosong ruang tamuku
Jangan pernah lupa menjamah rinduku
Kerna penghuni hati
Memegang kunci
Ke mana pergi
Di mana sembunyi
Arah mana menanti

Kau tahu....
Yang menumpang di situ
Adalah aku........

SANGDEWI. 4 FEBRUARI 2009.

4 Feb-Hari yang penuh makna, akan kukenang sentiasa. Mana mungkin aku melupakan tarikh yang begitu dekat dengan diri orang yang aku cinta. Saban tahun sejak mula mengenalinya, aku tidak pernah terlupa untuk menjadi orang pertama yang mengingatinya.

Hari ini hari ulangtahun kelahiran Papa, sudah menjangkau 37 tahun usia. Banyak cara telah aku buat untuk meraikannya dan barangkali tahun ini antara yang paling sederhana. Mungkin desakan masa dan kerja yang bertimpa membuatkan aku sedikit leka merancang sesuatu yang bermakna.

Kerna aku mengenali Papa, apa jua yang sederhana pasti menjadi pilihannya. Keakraban Papa dan keluarga membuatkan aku memilih untuk kami semua menyambutnya bersama-sama. Kebahagiaan Papa adalah keluarganya dan aku mahu hasrat itu dapat dilaksana.

Meski Papa hanya pulang pagi ini, tapi nada Papa kali ini terasa lain benar bunyinya. Mungkin Papa juga serba salah kerana tidak bersama denganku waktu jam berdenting tepat tengah malam seperti kebiasaannya.

Aku habiskan masa bersama Papa sebelum ke tempat kerja. Ku kira wajah Papa amat bahagia. Ucap, dakap dan harap menjadikan hari yang penuh erti ini begitu sempurna.

Papa menjemputku sesudah usai kerja. Pulang ke rumah untuk bersiap ke tempat acara. Damia yang belum mengerti apa-apa sudah melonjak gembira tatkala disiapkan dengan penuh gaya. Put'a yang terlupa hari lahir Papa terpinga-pinga, Nabil pula hanya menurut kata. Pakaikan dia apa saja tapi games di tangan tak terlucut juga.

Acara sederhana, berkumpul sekeluarga. Hidangan pelbagai rasa, karenah anak-anak bermacam cara namun mengeratkan makna saudara. Wajah gembira bapa dan ibu mentuaku jelas tersua, apatah lagi kehadiran adik-adik Papa yang begitu disayanginya. Anak-anak yang meraikan bersama, rakan sekerja yang turut serta tentunya membuatkan hati Papa berbunga ceria.

Sehari yang indah ini adalah hadiah buat Papa. Moga Allah panjangkan usia, dimurahkan rezeki hendaknya, tercapai segala cita dan tetap menjadi penghuni hatiku yang setia serta menjadi ayahanda terbaik kepada anakanda-anakanda. Amin......



Ini adalah hadiah daripada boss, jam tangan Tag Heuer Formula 1. Kata boss, itu edisi baru dan masih `panas' dalam `stock' di kedai. Di Malaysia pun masih belum dipromosi dan boss dah dapatkannya terlebih dahulu. Boss minta Papa memakainya terus...muat-muat tangan Papa.


Kata Papa, dia pun tak sangka boss akan belikan jam tersebut buatnya. Memang jenama Tag Heuer belum pernah ada dalam koleksi Papa. Masa Papa nak pakai jam tersebut pergi memancing habis majlis, aku minta Papa simpan dulu. Terasa sayang pula kan....kata Papa simpan baik2 jam tu, jangan dia balik nanti hanya tinggal kotaknya saja.....




Dalam tulisan-tulisan sebelum ni, ada disebut nama D.J dan A.Z, inilah orangnya. Nama samaran Kancil dan Kerbau...matilah kalau diaorang tau ada gambar ni kat sini. Kami ni kira tiga serangkailah kalau ikut boss ke mana-mana. D.J sampai lewat ke majlis ni sebab anak saudaranya juga sambut hari lahir hari ni.

Gambar ni istimewanya boss yang tolong ambilkan. Papa macam tulah..kalau bergambar payah nak serius...kekadang macam-macam memek muka dia buat. Tapi shot yang ni kira antara yang terbaiklah....heheheh


Inilah `anugerah' terbaik dalam hidup aku. Papa, Put'a, Nabil dan Damia. Tengok Put'a, dia pun ada ciri2 Papa, suka sangat buat memek muka kalau bergambar. Nabil pulak macam tulah, tak terlepas dari main games kat handphone.



Susah sebenarnya nak ambil gambar Nabil ni, kalau dia bergambar betul-betul, wajah dialah paling fotogenik. Gambar ni diambil sebelum balik, mengabadikan kenangan anak beranak.


Inilah keluarga bahagia kami, berkumpul meraikan birthday Papa. Gambar yang di atas ada Sairah dan yang di bawah Sairah tak masuk lagi masa ni. Yang tak ada dalam gambar ialah Ali, dia ni memang segan nak bergambar dan abang Papa yang sulung juga tak ada sebab jauh nun di Kuantan.


Sesi suap menyuap...banyak kali Papa tergelak buat aksi ni.......imbas kenangan masa kahwin dulu.



Inilah Puteri Siti Nurinsyirah Damia, puteriku yang tersayang. Dia ni lasak, maklumlah ada dua abang. Manja sangat dengan Papa nya, setiap pagi dialah yang akan kacau Papa nya tidur. Kalau Papa makan, dia akan berpeleser dengan Papa nak join makan.

Tirai 4 Februari berlabuh.....perjalanan masih jauh....banyak cabaran dan dugaan akan ditempuh, moga hati Papa takkan rapuh kerana di belakangnya aku berdiri teguh.


No comments: