Monday, February 23, 2009

Kenangan abah dan migrain

Ini gambar kenangan Damia ketika bersalaman dengan arwah abah pada hari raya puasa tahun lalu. Abah selalu berkata bahawa Damia adalah cucunya, memandangkan warna kulit Damia tidak secerah kulit cucu-cucu abah yang lain.


Gambar kenangan abah dengan Papa, Ali, staff SNP dan juga kenalan keluarga sewaktu majlis hari jadi Papa pada 4 Februari lalu. Abah kelihatan amat gembira sepanjang majlis dan makan dengan seleranya malam itu. Bila diminta bergambar beramai2 macam ni, abah tak menolak malah dengan senang hati duduk di kerusi. Abah memang kelihatan amat `sporting' malam itu.


Inilah saat Papa bersalaman dengan arwah abah pada hari raya puasa tahun lalu. Rutin setiap kali pagi raya, anak2 akan bersalaman dan memohon maaf dengan abah dan emak. Aku yang berada di sisi kedua-dua beranak ini (kerana aku yang mengambil gambar ini) terdengar jelas Papa memohon ampun dan maaf daripada abah. Dan abah seperti biasa mengangguk-anggukkan kepala.


Aku suka gambar ini...arwah abah kelihatan amat gembira dan sempat bergurau dengan cucunya. Lihat saja tangan abah di mana? Ini antara kenangan terakhir kami berkumpul satu keluarga kecuali abang Lizan sewaktu hari jadi Papa.


Inilah gambar keluarga besar arwah abah. Kenangan di pagi hari raya Haji Disember tahun lalu. Tak sangka inilah hari raya terakhir kami bersama abah. 4 orang anak (Abang Lizan, Papa, Saida dan Ali), 3 orang menantu (Abang Zali, Kak Isma dan aku) serta 10 orang cucu (Asraff, Aiman, Adam, Put'a, Nabil, Damia, Nyssa, Anas, Khalid dan Mashitah). Tidak ada dalam gambar ialah boss dan suami, Sairah dan Hafiz.

22 Feb- Jam 530am, Papa dah terjaga dari tidur. Selepas solat Subuh, Papa bersiap-siap untuk pergi memancing. Aku tak berkata apa kerana aku tahu mungkin Papa bersedia untuk mengubat kerinduan terhadap arwah abah. Jika sebelum ini, pada waktu2 beginilah Papa bergerak ke kolam memancing dengan arwah abah atau masih bersama-sama memancing. Aku dapat lihat wajah Papa sewaktu mahu berangkat, Papa memelukku erat. Aku faham maksud Papa....kerana kolam memancing begitu banyak kenangan antara Papa dengan arwah abah.

Sesekali aku menelefon Papa, saja mengubat hati Papa. Aku tidak mahu Papa keseorangan di kolam dan terlalu memikirkan memori bersama arwah abah. Kata Papa, di kolam dia bertemu beberapa teman arwah abah dan mereka berbual2 dahulu sebelum memancing.

Hari minggu yang santai. Aku masak nasi dan panaskan lauk pauk yang dibawa dari KL kecil semalam. Hari ni memang malas nak memasak, lagipun tak banyak barang dapur yang ada. Kebetulan pula kakak aku ada tempahan katering di restoran, jadinya aku minta dia hantarkan apa yang ada...heheheh ni memang kes malas ni.

Aku juga sempat menelefon kedai mamak, pesan minta simpankan aku semua suratkhabar Melayu hari ni. Biasanya kalau tak keluar pagi, memang aku akan minta mereka simpankan. Kalau dah keluar tengah hari atau petang, alamatnya memang habislah suratkhabar tu.

Aku juga macam biasa memberikan leteran manja kepada Put'a dan ingatkan dia tentang persiapan untuk ke sekolah esok. Anak lelaki ni memang kena ingatkan selalu, kalau tak dia asyik fikir nak main je. Buku entah ke mana, kerja rumah pun malas nak siapkan. Lagipun dah seminggu Put'a tak ke sekolah.

Aku memang rimas kalau tengok bilik tidur berselerak. Masa nak ke hospital Ahad lepas, itulah kali terakhir aku tinggalkan bilik. Memang pagi tu kelam kabut sikit. Oleh itu aku pun kenalah merajinkan diri untuk mengemas, menyapu, lap habuk dan menyusun segala benda dalam bilik ni. Bilik air je aku tak cuci sebab memang maid aku, Nor akan cuci setiap hari Isnin. Kalau aku juga yang cuci hari ni, esok dia akan goyang kakilah.

Sejak bangun tidur pagi tadi, aku dah mula rasa pening kepala. Mulanya aku tak kisah sangat, ingatkan pening biasa saja. Tiba-tiba migrain menyerang, kepala rasa berdenyut-denyut dan berat. Aku telan 2 biji panadol, tak hilang pun rasa sakit. Ubat migrain pula dah habis. Hari tu ada beli masa di KL kecil tapi tertinggal pula kat sana.

Bila Papa balik dari memancing, aku siapkan makan tengah hari Papa walaupun kepala dah pening sangat. Anak2 pula masuk ke bilik, melompat sana sini dan punggah2 semula barang yang aku dah susun. Masa nilah Put'a, Nabil dan Damia nak meramaikan orang dalam bilik ni. Aduhai..tu baru 3 orang anak.

Bila Papa terlena, aku pun nak join sama. Aku suruh anak-anak turun ke bawah, lagipun kepala dah makin sakit. Kalau ada bunyi bising memang aku akan cepat naik angin, maklumlah kalau terkena migrain selalunya aku perlukan suasana tenang. Hp pun aku buat `silent mode', malas nak jawab panggilan atau dengar deringan telefon tu. Sudahnya aku pun tak tahu berapa lama aku terlena.....

Papa kejutkan aku dan ajak keluar bersama anak-anak. Kalau ikutkan hati memang tak larat, tapi Papa cadangkan supaya aku ambil angin luar. Lepas Asar, kami keluar anak beranak. Mula2 singgah di gerai tomyam yang sedap tu, makan2 dulu. Lepas tu pergi ke kedai runcit pula, beli barang dapur. Sementara aku membeli barang dapur, Papa tolong belikan ubat migrain untuk aku di klinik yang berdekatan.

Sampai di rumah, Papa kata nak pergi memancing lagi. Siang tadi Papa tak dapat ikan, malam ni nak balas dendam katanya. Papa minta aku berdoa supaya dia akan dapat banyak ikan malam ni.Lagipun Papa dah berjanji dengan teman2nya yang lain untuk memancing malam ini. Maklum saja, selepas pemergian abah, tentulah teman2 memancing nak juga tahu beritanya.

Aku telan sebiji ubat migrain, tak reda pun sakit kepala. Telan lagi sebiji, ambil masa juga untuk ringankan sikit kepala aku ni. Aku telefon Papa, katanya masih di kolam. Masih tak dapat ikan dan Papa lanjutkan beberapa jam lagi.

Mata tak boleh nak lelap pula walaupun dah pagi ni. Oleh kerana tak boleh tidur, aku update blog ni...Papa masih belum balik dan aku masih menunggu.......

3 comments:

Anonymous said...

tak boleh tidur?kesiannye...selalu kene migrain ke?cuba lah ECPI..hehe...

zaffirazaini said...

Sedihnyeeerr tengok gmabar2 ni... huuhu...
Akk... Iskh..byknyer telan pil migrain doktor tu... tak elok... Cuba amalkan rawatan lain seperti yg dicadangkan diatas... =)

tuan punya hati said...

sian kat akak.. selalu migrain. dulu masa study pun selalu , almost everyday, may b sb panas sgt. tp skang klu migrain telan postan 500 aje sebijik, terus ok. tp ni kira jln senang.. suami selalu sound jgn byk sgt telan ponstan tu, x elok ... tp tulah.. bila kena, mmg nak cepat reda aje kan..tak tahan...