Friday, March 6, 2009

Pergi Tak Kembali

6 Mac-Sebelum jam 12am, aku memang bagitau Papa supaya bawa balik makanan bila dia selesai memancing. Tak sangka pula, Papa balik lambat. Aku lupakan niat nak makan dan terus tidur.

Bila Papa balik jam 3.30am, dia kejutkan aku dan paksa aku makan nasi goreng yang dia beli. Aduhai..nasi goreng ke? Aku yang sedang mengurangkan makan nasi sebelah malam ni ......terpaksalah makan juga, kesian Papa dah belikan.

Dua hari ni, aku terima berita dua orang yang kukenali meninggal dunia. Semalam tentang saudara Arzmy, orang kuat di syarikat rakaman EMI suatu ketika dahulu. Tak sangka pula beliau akan pergi buat selama2nya, rasanya baru sangat lagi aku berbicara dalam telefon dengan beliau dan juga mendapat emel daripada arwah.

Arwah ni memang seorang yang baik hati, nak kata aku kenal dan rapat sangat dengan arwah...tidaklah juga. Apa yang membuatkan kami saling kenal adalah atas dasar kerja. Beberapa tahun lalu, arwahlah yang berjumpa denganku untuk bertanyakan projek lagu duet boss dengan Thoo Phat, Dua Dunia.

Arwah yang bersungguh2 mahu projek tersebut dapat dijayakan dan Alhamdulillah boss bersetuju untuk berduet dengan Thoo Phat dan gandingan mereka mendapat sambutan baik.

Bila boss mengadakan konsert tribute untuk Allahyarham Sudirman, arwah Arzmy juga banyak membantu kerana ketika itu beliau bekerja dengan EMI, syarikat di mana Allahyarham Sudirman bernaung.

Beberapa bulan lalu, arwah ada menelefon dan itulah kali terakhir aku bercakap dengan arwah. Ada projek baru yang cuba ditanyakannya kepadaku di mana arwah sudah berpindah tempat kerja tapi masih dalam bidang hiburan. Mungkin perbincangan lanjut mengenai projek itu tidak begitu berjalan kerana faktor waktu dan juga kesibukan boss menyiapkan album terbarunya ketika itu.

Itulah serba sedikit kenangan aku dengan arwah.... Al-Fatihah buat arwah Arzmy.....

Hari ini pula, khabar pemergian saudara Zubir Ali aku terima. Rasanya terlalu baru bertemu dengannya sewaktu majlis pelancaran album boss, Lentera Timur pada 15 Disember yang lalu.

Secara jujur, aku memang menyenangi dan mengagumi arwah Zubir. Lagu-lagu puisi dan lirik puitis beliau begitu memberi makna. Barangkali dua tulisan lirik arwah dalam album boss yang terbaru adalah antara lirik2 terakhir yang beliau tulis. ``Bulan Yang Mesra'' dan ``Rasa Antara Kita'' adalah lirik lagu yang terhasil untuk melodi lagu ciptaan Khairil Johari Johar yang terilham sewaktu program Cipta Ekpress-Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza di Port Dickson, Januari 2008.

Antara banyak karya, dua karya beliau ini terpilih untuk dimuatkan dalam album Lentera Timur. Sepanjang proses menghasilkan album ini, aku sering juga menelefon arwah terutama mengenai kontrak dan pertemuan bagi membincangkan lagu tersebut.

Sewaktu arwah bertemu boss iaitu ketika boss mengadakan sesi bertemu dengan semua komposer dan penulis lirik bagi semua lagu yang dimuatkan dalam Lentera Timur, masih terbayang bagaimana arwah menceritakan tentang lirik2 yang diberikan dan apakah maksud di sebalik lirik tersebut.

Arwah mahu boss menyampaikan dengan penuh penghayatan apabila menyanyi kerana itulah arwah menerangkan maksud lirik2 tulisan beliau itu.

Sewaktu majlis pelancaran album boss juga, aku sendiri bertemu dengan arwah di pintu masuk dewan dan membawanya ke meja yang dikhaskan untuk komposer dan penulis lirik. Barangkali itulah kenangan terakhir aku melihat dan bertemu dengan arwah. Al-Fatihah buat arwah Zubir....

Pemergian demi pemergian amat menginsafkan. Dalam waktu yang terdekat ini orang yang aku sayang dan aku kenal telah kembali ke alam barzakh. Entah bila pula masa kita......

Berbalik kepada cerita aku hari ini, selepas A.Z solat Jumaat, aku, D.J dan A.Z ke rumah boss dan kemudian ke Istana Budaya untuk latihan Sirah Junjungan. Ada plan baru yang dibuat Kak Erma Fatima iaitu show pertama ada 9 Mac akan melibatkan semua artis. Setiap artis hanya menyampaikan satu lagu dan show ini lebih bersifat ``press preview''.

Sewaktu boss sedang berlatih muzik, suami boss, DSK, datang menjengah. Bila selesai, kami diajak pergi makan. Restoran Arab tempat sambutan hari lahir Ali dan ibu mertuaku pada Disember lalu menjadi lokasi kami iaitu di Al-Rawsha.

Oleh kerana aku masih kenyang, aku tumpang makan apa yang boss order saja. Balik tu singgah pula di sebuah kedai runcit a.k.a pasaraya untuk membeli barangan keperluan rumah/dapur boss. Sudahnya A.Z jadi tukang tolak troli, aku tukang ambil barang yang dikirimkan oleh maid boss dan D.J tolong2 letakkan barang dalam troli. Boss pula cari dan pilih barang2 yang dia nak beli.

Lepas hantar boss balik, kami hantar D.J pula ke rumah kakaknya sebab dia nak balik kampung esok. Plan asal aku nak balik kampung tak menjadi kerana boss ada urusan kerja.

Sampai di rumah dah jam 9.30pm, aku terlepas 30minit menyaksikan Gelanggang Akhir Raja Lawak. Jangan tak tau, aku memang penggemar program ni dari musim yang pertama lagi. Bagi aku program macam ni bagus kerana ia terkeluar daripada lambakan program mencari penyanyi.

Sempat jugaklah aku menyaksikan aksi2 Amir, Jihan dan kumpulan Sepah. Aku sebenarnya frust sebab kumpulan LNJ tak dapat masuk final. Aku dapat rasakan LNJ boleh beri saingan kepada Sepah sebab `kepala' dorang ni lebih kurang sama je..tak kering idea. Amir bukan tak bagus tapi biarlah gelanggang akhir kita dapat saksikan sesuatu yang hebat supaya ada cabaran.

Tahniah kumpulan Sepah, akhirnya berjaya bergelar Juara Raja Lawak musim ke 3. Lepas Sepah menang, aku terus telefon Papa yang berada di kolam memancing. Papa pun yakin Sepah boleh menang.

Industri memang memerlukan lebih ramai pelawak. Sebenarnya amat kurang pelawak yang cemerlang sekarang ni. Mungkin kita akan ketawa melihat aksi atau memek muka atau bahasa badan seseorang pelawak tapi susah benar nak cari pelawak yang mampu membuat kita ketawa kerana idea yang keluar dari `kepala' mereka. Isi dan idea inilah yang bagi aku akan mengundang ketawa jujur dan berdekah2 dari kita ni......

Mmmmm...aku suka komen Adlin Aman Ramli malam ni. Banyak yang benar dan membina dalam komen2nya. Aku memang sukar nak bendung rasa respek aku kat Adlin ni sebab dia menguasai apa yang dia buat.

Dulu, aku dan Adlin adalah pelajar tahun pertama di Akademi Seni Kebangsaan, tahun mula-mula ASK dibuka. Adlin dalam jurusan teater dan aku pula dalam jurusan Penulisan Kreatif.

Aku ingat sangat dengan tanda tahi lalat besar di pipi Adlin (sekarang dah tak ada), potensi Adlin dan ramai rakan pelajar lain di ASK memang menyerlah.

Dari semasa ke semasa aku dapat tengok Adlin amat cemerlang dalam lakonan, pementasan teater juga. Adlin ni bukan saja tau berlakon tapi boleh mengarah, menulis skrip, menyanyi dan juga tahu mengenai muzik. Kira pakejlah kalau dapat bekerja dengan beliau. (Aikkk..apasal tetiba aku angkat Adlin ni???)

Bila Adlin semakin popular dan dikenali, aku tahu Adlin terus berjuang dan cemerlang dalam bidangnya. Moga kilauan bintang tak menghanyutkan Adlin kerana aku yakin Adlin mampu cemerlang dalam kelasnya yang tersendiri.

Lepas ni Akademi Fantasia 7 pula, selalunya aku akan ikuti program macam ni tapi jarang2 sekali mengundi. Kekadang memang aku tak undi langsung, tengoklah mood aku.

Seingat aku, AF 1 dulu, konsert akhir aku undi Azizi. Pertama: Azizi orang Pahang, kedua: Aku suka dengar suara Azizi waktu itu. ketiga: Bila menyanyi Azizi tak kaku, ada saja gayanya.

Lepas tu, AF 2 pula, masa konsert akhir juga rasanya, aku ada undi Farah sekali je. Sebab nak bagilah Farah dapat no.2 waktu tu...sebab no.1 dah tentulah Zahid.

AF3, tak undi sapa2..sebab kalau undi pun dah tau Mawi menang. AF4 pun tak undi, AF5 pun masih tak mengundi. AF6..hehehhe tentulah aku ada undi juga untuk Saida lah.

3 comments:

Anonymous said...

uuuiiii mkn besau nampak pagi2 buta hehe.. al-fatihah buat kedua-dua arwah... neway program2 kak zie tonton tu kat spore ni x dpt.. so boring kan...nk buat mcm mane terpaksa la nanti try kat utube hehe

Azwan Hashim said...

ok la sepah menang kan.. nasib baik bukan amir..hehehe..

kak zie, jgn lupa msk raja lawak musim baru nanti..confirm saya vote!!hehehe.. :)

tuanpunya hati said...

al-fatihah buat kedua2 arwah...
o rupanya akak dulu student ASK, penulisan kreatif... patutlah bakat mengarang begitu menyerlah... first badge lagi yea... congrat's.